Apa istimewanya 27hb Rajab ini?
Detik ini adalah saat yang sangat bermakna apabila umat Islam di seluruh dunia akan menyambut peristiwa Israk Mikraj. Ianya merupakan satu peristiwa yang cukup besar dalam diari dan sejarah umat Islam yang disambut pada 27 Rejab di setiap tahun. (Pada tahun ini, ianya bertepatan dengan 28 Jun 2011, Selasa malam Rabu).
Firman Allah SWT bermaksud: “Maha Suci Allah SWT yang sudah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah SWT jugalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk ayat 1).
- Israk: Perjalanan malam Rasulullah saw daripada Masjid al-Haram di Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin.
- Mikraj: Perjalanan naiknya Rasulullah saw dari Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis menembusi langit ke sempadan yang paling tinggi iaitu Sidratul Muntaha.
Apakah peristiwa penting yang berlaku sebelum Israk Mikraj ini?
1- Peristiwa Israk Mikraj berlaku selepas Rasulullah saw diuji dengan kematian dua orang yang sangat dikasihi yang telah banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.
2- Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua-dua insan yang disayangi semakin bertambah apabila berlakunya penolakan dakwah oleh penduduk Taif.
Nabi telah ‘dihiburkan’ oleh Allah swt dengan Israk dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga Berjaya membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah.
Kenapa Israk Mikraj dikatakan sebagai ujian keimanan?
Peristiwa Israk Mikraj ini telah menyaring keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah s.w.t dan kebenaran risalah Rasulullah s.a.w.
Orang kafir pada ketika itu telah menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu peluang terbaik untuk melakukan operasi pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah Nabi.
Umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat
1- Ada yang terus membenarkan Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq
2- Ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji Nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut
3- Ada pula yang bersikap menolak terus cerita Nabi dan kembali murtad daripada Islam.
Ini berlaku semata-mata kerana peristiwa ini sangat menongkah arus akal manusia. Inilah juga gambaran yang akan berlaku apabila umat yang keliru akan meletakkan akal sebagai sumber rujukan hidup yang mengatasi sumber al-Quran dan Sunnah.
Apakah pengajaran pertemuan Rasulullah bersama para Anbiya di langit sebelum menjadi Imam kepada semua mereka di Masjid al-Aqsa?
(Di sinilah tempat yang bersejarah apabila Rasulullah telah dipilih untuk menjadi Imam kepada semua para nabi yang terdahulu)
Perjalanan itu adalah perjalanan yang menghubungkan akidah tauhid yang besar sejak Nabi Adam, Ibrahim, Nabi Ismail, Musa, Isa dan lain-lain sehingga kepada Rasulullah saw yang merupakan penghulu dan penyempurna kepada risalah kenabian.
Dr Yusuf a-Qardawi juga telah menyatakan bahawa peristiwa ini merupakan detik pengisytiharan umum tentang perubahan kepimpinan dunia daripada para anbiya sebelumnya kepada Rasulullah saw.
Peristiwa ini telah menolak hujah sebahagian manusia yang mengatakan bahawa Isa a.s adalah pengasas agama kristian dan juga di kalangan orang Yahudi yang mendakwa bahawa Musa adalah nabi yang paling mulia.
Sebagai umat Islam kita mesti menginsafi bahawa sifat Islam adalah memimpin dan bukan sekadar berpuas-hati dengan ‘demokrasi’ dan ‘humanism barat’ serta dengan apa yang berlaku di dunia global pada ketika ini.
Kenapa mesti dibawa ke Masjid al-Aqsa, di Baitul Maqdis dahulu dan tidak terus dari Masjid al-Haram ke Sidratul Muntaha?
Perjalanan ini menunjukkan bahawa Baitul Maqdis sangat penting kedudukannya dalam agama Islam.
Perjalanan ini menunjukkan bahawa Baitul Maqdis sangat penting kedudukannya dalam agama Islam.
1- Masjid al-Aqsa adalah merupakan kiblat pertama bagi umat Islam sebelum ianya dipindahkan ke Masjid al-Haram di Mekah.
2- Masjid al-Aqsa adalah masjid yang ke 2 dibangunkan di mukabumi
3- Masjid al Aqsa adalah masjid yang ke 3 suci di dalam aqidah umat Islam
4- Al-Quran menyebut Masjid al-Aqsa dengan sifatnya yang bermaksud: “Yang Sudah Kami Berkati Sekelilingnya” yang menggambarkan keberkatan yang mengelilingi dan melimpah ke atas masjid itu.
Masjid al-Aqsa juga adalah tempat para anbiya dilahirkan, berdakwah dan dikuburkan sehingga Imam Syafi’e (yang dilahirkan di Gaza) pernah berkata pada suatu ketika dahulu, “Saya sangat suka beriktikaf di Masjid al-Aqsa ini lebih daripada mana-mana sekalipun.” Ketika ditanyakan alasannya, beliau menjawab, “Di sinilah tempat berkumpul dan dikuburkannya para Nabi.”
Apakah hubungan Israk Mikraj dan pembebasan Masjid al-Aqsa oleh Solahuddin al-Ayyubi?
Al-Aqsa adalah milik umat Islam secara keseluruhannya. Ianya bukan sekadar isu bangsa Palestin atau bangsa Arab semata-mata. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap kita untuk menyumbang terhadap apa jua cara dan usaha untuk membebaskan Masjid al-Aqsa daripada terus dinodai kesuciannya oleh Yahudi dan Zionis pada ketika ini.
Solahuddin adalah bukti dan saksi bahawa isu perdana ini adalah milik dan tanggung-jawab kita bersama. Beliau telah menghabiskan keseluruhan hayatnya berkorbat dan berkeringat sehingga pembebasan al Aqsa daripada Salib menjadi kenyataan.
Mari kita lihat kembali kisah pembebasan Baitul Maqdis oleh Solahuddin al-Ayyubi ke atas tentera Salib :
Pada Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah yang bertepatan hari Israk dan Mikraj, Sultan Salahuddin al-Ayyubi memasuki kota Baitul Maqdis. Ibn Shaddad menulis: “Itulah kejayaan bagi segala kejayaan. Satu perhimpunan besar yang terdiri daripada para pembesar, ahli peniaga, alim ulama dan orang ramai berhimpun pada saat yang mengembirakan itu. Ramai yang mengucapkan tahniah kepada Sultan Solahuddin dan teriakan ‘Allahu Akbar’ serta kalimah ‘La Ilahaillallah’ bergema gagah di angkasa.
Setelah 90 tahun berlalu tanpa Jumaat sepanjang pemerintahan kristian Salib, sembahyang Jumaat sekali lagi didirikan di Baitul Maqdis. Salib yang berkerlipan di atas kubah Masjid al-Aqsa diruntuhkan. Sesungguhnya suasana ketika itu sukar dibayangkan, tetapi rahmat dan pertolongan Allah SWT dapat disaksikan di setiap tempat pada hari berkenaan. Mimbar istimewa yang yang dibina di bawah arahan Nuruddin al-Zanki, 20 tahun sebelum pembebasan Baitul Maqdis telah dibawa dari Halab, Syria dan didirikan di dalam Masjid al-Aqsa.”
Isra Mikraj mengajar kita untuk sama terlibat bagi membebaskan al-Aqsa, Apakah tindakal praktikal yang boleh kita buat?
Sebenarnya banyak perkara yang praktikal yang boleh kita sumbangkan bagi menyelamatkan Masjid al-Aqsa dari ancaman kemusnahan. Di antaranya ialah
1- Bermula dengan diri kita, kenali sejarah Palestin dan kepentingan Masjid al-Aqsa dalam aqidah umat Islam.
2- Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin.
3- Tanam dan sebarkan kesedaran tentang status sebenar Masjid al-Aqsa kepada masyarakat dengan apa jua cara.
4- Anjurkan program yang berkaitan dengan Masjid al-Aqsa pada sambutan peristiwa Israk Mikraj ataupun pada Hari al-Aqsa seDunia pada 21hb Ogos nanti di masjid-masjid, sekolah-sekolah, kampus universiti dan di premis-premis yang lain.
6- Memahamkan isu ini kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara kita dan mengajak mereka untuk turut serta dalam agenda memperjuangkan kesucian al-Aqsa.
7- Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.
8- Melibatkan golongan bukan Islam dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.
9- Melonjakkan isu ini ke persada nasional dan antarabangsa kerana perjuangan pembebasan al-Aqsa adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.
10- Berdoa kepada Allah swt agar Masjid al-Aqsa diselamatkan dari musuh-musuh umat Islam dan kemuliaannya sentiasa terpelihara.
Insafi pengajaran Israk Mijraj dan libatkan diri anda dalam usaha untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan Palestin.
Semoga al Aqsa dan Palestin terbela
Artikel dipetik dari http://zainurrashid.com/?p=572
Dr Z
1 comment:
nice job pro...keep it up..
Post a Comment