Tuesday, December 20, 2011

Manifestasi Cinta Islam


Kembalikan Islam ke tempatnya      

Semenjak kejatuhan khilafah 1924 , hari demi hari Ummat Islam tertunduk dalam keadaan terhina. Lebih teruk lagi, kini umat Islam hari ini semakin goyah dengan kehilangan jati diri sebagai seorang Muslim, moral dan akhlak terus hanyut ditenggelami arus kemodenan, dan segenap penjuru pemikiran kita pula diserang dek ideologi-ideologi barat tanpa kita sedari. Dan lebih teruk lagi, sistem Islam tidak lagi menjadi kebanggaan. Apatah lagi bermati-matian dipertahankan.

                Kembali kepada realiti hari ini, bumi Islam tidak pernah lagi sunyi daripada peperangan dan kebencian musuh-musuh Islam. Lihat sahaja Palestin, Kashmir, Iraq, Mindanao dan banyak lagi negara-negara  lain yang dipadam daripada berita dunia, di mana mereka dibantai, ditetak, dipenjara, ditelanjangi musuh-musuh Islam. Dan kita ? Diam tanpa berbuat apa-apa. Apakah kita masih mengira diri kita beriman dan mempunyai sifat belas kasihan.

Mari kita hayati bersama hadis yang diriwayat Rasulullah s.a.w

( من لم يهتمَّ بأمر المسلمين فليس منهم )
"Sesiapa yg tidak mengambil berat perihal muslim maka bukanlah dikalangan mereka"

( من أصبح والدنيا أكبر همه فليس من الله في شيء ، ومن لم يتق الله فليس من الله في شيء ، ومن لم يهتم للمسلمين عامة فليس منهم )
 وقوله صلى الله عليه وسلم : ( مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى ) رواه البخاري (6011) ومسلم (2586)



Kisah-kisah yang menyayat hati umat Islam seperti ini jelas membuktikan dan mempamerkan kepada kita bahawa betapa perlunya untuk kita membina semula kekuatan umat Islam. Kekuatan ini bukanlah terletak kepada betapa umat yang memeluk agama Islam pada hari ini, dan bukan juga dengan adanya ramai pemimpin-pemimpin yang melaung-laungkan perjuangan Islam danmendabik dada kerana pengikutnya yang ramai . Tetapi ingatlah bahawa kekuatan ummah hanya akan kembali hanya apabila Muslimin kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya dan tidak lagi mencedok ideologi-ideologi barat yang lebih banyak menyesatkan lagi mengelirukan.

Izinkan saya untuk berkongsi tentang kisah seorang tokoh yang jarang didengari namanya pada hari ini, apatah lagi mengenalnya. Beliaulah tokoh Islam yg pernah menggembleng seluruh tenaga, usaha , dan usianya untuk membina kembali kekuatan umat Islam.  Beliau diberi nama Izzuddin al-Qasam.

                Beliau telah dilahirkan pada tahun 1882M di Syria, pernah belajar di Universiti Al-Azhar , Mesir , kemudian kembali semula ke Syria. Beliau merupakan seorang seorang imam, guru dan juga sheikh  di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Beliau juga pernah terlibat dalam di dalam revolusi Syria memerangi penjajahan Perancis, sehingga akhirnya Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Sehingga akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Haifa, Palestin.

                Memahami rancangan jahat Yahudi untuk mendirikan negara Nasional Yahudi, beliau menggiatkan peranannya untuk menyedarkan masyarakat Palestin tentang kejadian yang sedang berlaku ini. Antara isunya termasuklah penghijrahan besar-besaran Yahudi ke tanah Palestin dan penubuhan Organisasi Zionis antarabangsa di Basel, Switzerland pada 29-30hb Ogos 1896.

Selama 7 tahun, beliau bertungkus-lumus mengadakan hubungan dengan mendekati orang ramai, mengenali , membina peribadi Islam dan melatih mereka untuk berorganisasi. Beliau amat menitik beratkan 3 perkara utama iaitu :-

  •         Berwaspada terhadap rancangan Yahudi
  •         Mengajak mereka untuk berjihad
  •         Memilih orang-orang yg berkualiti untuk dilatih dan diberikan pemikiran yang benar serta mahir   dalam soal ketenteraan.

              Beliau juga tidak lupa untuk sentiasa mengadakan hubungan baik dengan orang lain, menanamkan perasaan cinta sesama manusia memandangkan ideologi barat berjaya memecahbelahkan rakyat Palestin pada waktu ini dan juga menanamkan rasa tanggungjawab setiap lapisan masyarakat terhadap Tanah Palestin.

Akhirnya pada tahun 1935, Izzuddin al-Qassam  dalam usianya yang mencecah 60tahun telah gugur sebagai syahid yang telah meninggalkan kesan yang besar terhadap perjuangan Umat Islam di Palestin dan seluruh dunia. Jasanya sentiasa dikenangi oleh umat Islam Palestin sehingga mengabdikan nama beliau di sebuah sayap ketenteraan HAMAS  dan di bendera mereka.

Begitulah kisah seorang pejuang Islam yang bermati-matian menjalankan amanah Allah. Benarlah firman Allah di dalam alquran , {مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً } sehingga Allah mengangkat darjatnya sebagai salah seorang syuhada’ yang diredhainya. Bagaimana pula kita ?

No comments: