Tuesday, April 12, 2011

Sedarlah wahai Ummat Islam !!!

MASALAH KITA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Ar-Rum: 41)


Ditujukan
Buat ketua kerajaan sebagai orang pertama yang bertanggungjawab. Semua ahli majlis parlimen sebagai orang yang secara rasmi bertanggungjawab dengan sistem Islam.
  • Pemimpin-pemimpin badan-badan rakyat
  • Parti-parti politik
  • Badan-badan patriotik dan sosial sebagai pemimpin-pemimpin dan penggerak rakyat. 
  • Buat setiap orang yang cintakan kesejahteraan dunia dan bangsa manusia. 
  • Saya tujukan bingkisan ini sebagai menunaikan tanggungjawab dan melaksanakan hak dakwah.
Sesungguhnya saya telah sampaikan, ya Allah saksikanlah.


TIGA FENOMENA
Fenomena pertama: Keadaan yang menyelubungi negara kita yang tercinta ini, lembah Nil yang teruk dilanda pelbagai kepincangan dalam setiap aspek dan seluruh sudut kehidupan.


Semangat patriotik kita tidak ke mana…
Semangat rakyat hancur berkecai akibat segala krisis ini. Persengketaan dan perpecahan menghantui jiwa para pemimpin, malah tiada beza antara pemimpin dan rakyat…


Jentera pentadbiran kerajaan dicemari budaya mementingkan diri sendiri, menurut kepentingan parti, salah guna kuasa dan salah laku. Dengan pentadbiran pusat yang menyulitkan dan karenah birokrasi yang rumit. Di tambah pula dengan masing-masing tidak mahu memikul tanggungjawab.


Undang-undang tidak lagi berkuasa mendidik manusia dan budaya kerana telah dicemar oleh amalan berpihak dan diskriminasi. Harga barangan melambung tinggi. Kadar penganggur yang semakin meningkat akibat tiada peluang pekerjaan. Taraf hidup yang semakin menurun di kalangan majoriti rakyat hingga ke tahap yang tidak dapat dibayangkan oleh manusia. Ditambah pula dengan pupusnya sifat kasih sayang, keganasan bermaharajalela, wujud kecenderungan untuk bertindak kejam dan zalim. 


Semua keadaan ini akan menimbulkan kemarahan rakyat yang bakal diluahkan melalui beberapa tunjuk perasaan atau ditonjolkan dengan pelbagai cara…


Tiada lagi atau hampir tiada lagi tempat untuk akhlak. Akhlak dikesampingkan kerana kejahilan atau kemiskinan atau keperluan yang mendesak. Amalan keji dan budaya yang bercanggah dengan akhlak tersebar di merata tempat…
Fikiran tertekan dan jiwa meronta tidak mampu lagi menghadapi apa jua keadaan.


Semua fenomena ini semakin bertambah buruk dari sehari ke sehari, sesaat demi sesaat. Semua ini menandakan bencana yang bakal tiba jika tidak segera disedari oleh mereka yang berakal sebelum terlewat…


* * *
Fenomena kedua: Fenomena yang berlaku di negara-negara Arab dan negaranegara
Islam lain yang amat dicintai. (Suatu ketika dahulu)


Palestin: Palestin diancam oleh penjajahan yang akhirnya membawa kepada konspirasi antarabangsa yang dilancarkan oleh Amerika, Rusia dan Inggeris. Semua tindakan ini direncana oleh Zionis antarabangsa yang menguasai kerajaan dan rakyat Barat dengan wang mereka. Mereka masih berdendam dan bersikap prejudis terhadap bangsa Arab dan umat Islam di mana sahaja…


Pakistan sebuah negara baru: Terpaksa berhadapan dengan ancaman daripada militan Hindu yang disokong oleh muslihat penjajah dan senjata yang dibekalkan oleh penjajah daripada pelbagai negara. Malah Rusia yang cuba menampilkan semangat menghormati citarasa bangsa-bangsa lain turut serta berkomplot menindas negara yang baru ini, jika benar sumber yang kita perolehi daripada telegram dan akhbar hari ini…


Indonesia: Negara yang mempunyai penduduk seramai tujuh puluh juta orang6 dan kebanyakannya beragama Islam. Negara ini ditekan oleh Belanda, sebuah negara yang hanya mampu melepaskan diri daripada penjajahan Jerman hanya dengan bantuan Tentera Bersekutu. Belanda cuba menghalang bangsa Islam yang gagah ini daripada mengecapi hak semulajadi mereka iaitu kebebasan dan kemerdekaan.


Tripoli Barat dan Barca: Mereka diperangkap dengan pungutan suara namun hanya Allah sahaja yang tahu akibat buruk agenda ini.


Utara Afrika seperti Tunisia, Algeria dan Maghribi mengharapkan bantuan tetapi tiada siapa yang dapat memberi bantuan. Mereka berjuang sedaya upaya untuk membebaskan diri daripada belenggu cengkaman Perancis. Perancis menafikan hak mereka untuk hidup dalam keadaan merdeka dan bermaruah. Hak mereka untuk mengecapi kemerdekaan sepenuhnya dinafikan…


Begitulah yang dialami oleh semua bangsa Arab dan Islam yang lain. Tiada satupun yang terlepas daripada pencabulan dan angkara penjajahan. Ini daripada aspek politik. Aspek sosial juga tidak jauh bezanya dengan apa yang saya katakan berlaku di Lembah Nil. Kita semua berhadapan dengan masalah yang sama.


* * *
Fenomena ketiga: Agenda para pemimpin dunia dan bangsa-bangsa yang diberi peluang untuk menjadi pemimpin dunia pada hari ini selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.


Tidak wujud lagi satu contoh teladan yang terbaik. Semua cita-cita murni yang dilaungkan oleh manusia ketika saat genting dahulu kini telah lenyap daripada pandangan mata dan hati. Malah suatu ketika dahulu mereka pernah menggabungkan seluruh kekuatan antarabangsa untuk menentang kezaliman dan kekejaman. 


Keadilan sosial, empat hak asasi, prinsip-prinsip yang dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa dan sebagainya yang menggariskan segala prinsip murni semuanya kini hanya tinggal kenangan. Para pemimpin dunia ini sudah tidak lagi mendokong falsafah murni untuk memimpin dunia ini. Apa yang ada hanyalah falsafah material, penjajahan, jajahan takluk, monopoli bahan mentah!


Semua ini dilakukan dengan rakus dan haloba yang tiada tandingnya dalam sejarah manusia. Malah sikap sedemikian tidak pernah wujud selepas Perang Dunia Pertama. Nilai-nilai inilah yang menjadi persaingan antara negara-negara yang menang. Rusia di sebelah pihak sementara Amerika dan Inggeris di satu pihak yang lain. 


Walaupun mereka cuba menyembunyikan sikap rakus mereka dengan berselindung disebalik slogan mempertahankan prinsip-prinsip masyarakat harmoni, sistem hidup yang murni dan mengunakan nama sosialisme atau demokrasi. Namun di sebalik istilah-istilah ini sebenarnya tersembunyi sikap rakus kolonialisme dan materialisme mereka.


Kepincangan ini yang pada hakikatnya melunturkan nilai perikemanusiaan yang ada pada manusia akan hanya membawa kepada Perang Dunia Ketiga. Perang akan datang akan dilengkapi dengan senjata atom, gas beracun, senjata membunuh dan banyak lagi senjata-senjata pemusnah yang pernah kita dengar dan yang masih belum kita dengar. Semua ini dinyatakan oleh kitab-kitab langit sebagai kedahsyatan kiamat.


(Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. 
(Al-Qari‘ah: 4-5)


* * *


Inilah hakikat yang berlaku di negara kita ini. Di negara-negara kita yang lain iaitu negara-negara Arab dan Islam yang lain serta negara-negara yang didiami oleh seluruh manusia yang juga adalah negara kita. Jika tidak wujud generasi “dakwah baru” yang bersedia mengibar panji kebenaran dan kesejahteraan ke seluruh dunia nescaya kita tiada pilihan lain selain terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat dunia ini dan bangsa manusia amnya.


Oleh kerana di tangan kita ini ada obor penyuluh dan botol ubat maka kita bertanggungjawab untuk ke hadapan memperbaiki diri sendiri dan mengajak orang lain untuk memperbaiki diri. Mungkin kita akan berjaya. Jikalau tidak berjaya sekurang-kurangnya kita telah sampaikan risalah ini dan kita telah tunaikan tanggungjawab ini. Apa yang kita mahukan hanyalah untuk kebaikan seluruh manusia. Kita tidak sepatutnya merasa rendah diri. Bagi mereka yang memikul tanggungjawab ini dan melaksanakan dakwah ini, tanda-tanda kejayaan yang ada
sudah cukup untuk menjadikan dia yakin, ikhlas dan sedia berjuang untuk merealisasikannya. Masa akan menentukannya dan dunia akan menanti-nanti ketibaannya. Adakah sesiapa yang akan menyahutnya?


Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu; hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat). (Saba’: 46)


Apakah Corak Yang Kita Pilih?


(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah); celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat. (Al-Baqarah: 138)


Masyarakat kita hari ini diselubungi kekeliruan. Lambat laun kekeliruan ini akan membawa kepada pemberontakan. Pemberontakan yang dilakukan tanpa sebarang tujuan, tanpa sebarang peraturan atau sistem atau batasan. Implikasinya hanya satu iaitu kemusnahan, kehancuran dan kerugian besar. Terutama jika ia berlaku di zaman ini yang tidak lagi wujud semangat kasih sayang. Zaman di mana manusia ditemani hawa nafsu ibarat anjing yang menemani tuannya. Apatah lagi di negara seperti Mesir ini yang sentiasa menjadi tumpuan dan persaingan dari dalam dan luar negara.


Perkara ini sudah tentu diakui oleh semua orang yang prihatin dengan nasib negara ini. Anda boleh dengar perkara ini dinyatakan oleh para pemimpin dan ahli fikir. Anda juga akan mendengar orang awam membincangkannya apabila mereka berkumpul di kelab-kelab mereka. Diperkatakan oleh para pekerja di tempat kerja mereka. Diperkatakan oleh Pemandu jika anda menumpang kenderaan mereka.


Dibicarakan oleh penjual sayur jika anda berbual dengan mereka. Jika kita nafikan fenomena ini atau kita abaikan kesannya atau kita perkecilkan akibatnya kita sebenarnya ibarat burung kasawari yang membenamkan kepalanya ke tanah. Ia merasakan tindakannya itu akan dapat memperdaya pemburu.




* * *
Melalui ruang ini, bertepatan dengan teori sosial, segala ideologi dan fahaman baru akan menyelusup masuk ke dalam Mesir. Dalam usaha untuk menguasai jiwa dan hati rakyat Mesir semua ideologi ini akan berjuang habis-habisan. Mereka menggunakan segala cara yang boleh dan tidak dibolehkan.


Bermula dari sinilah kita mula mendengar pelbagai suara berkumandang di akhbar-akhbar dan majlis-majlis keramaian. Komunis berusaha gigih menerapkan fahaman mereka ke dalam jiwa masyarakat. Demokrasi kolonialisme yang tertekan kini berusaha pula untuk melawan aliran ini. 


Di tengah pergolakan ini muncul pula golongan yang memperjuangkan sosialisme. Di antara ideologi-ideologi ini dan umat kita berdirinya Islam yang telah sekian lama bertapak dalam hati umat Islam selama empat belas kurun. Islam telah sebati dengan mereka. Islam telah mempengaruhi mereka melalui keindahan, keagungan dan kemurniannya. Islam tidak akan rela merendahkan martabatnya atau mengalah membiarkan sahaja hati-hati ini yang telah sekian lama mengimaninya dan berjuang bermati-matian untuk memartabatkannya. Jihadlah yang telah mempertahankan Islam daripada serangan-serangan tentera salib, tentera Tartar dan tipudaya Zionis.


ˆDan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21)


* * *
Namun sampai bila kita akan terus bergelumang dalam pelbagai aliran dan budaya ini. Walaupun perkara ini kini masih kecil namun ia tidak akan selamalamanya kecil.


Sampai bilakah para pemikir di Mesir ini akan terus tidak menghiraukan pertembungan ini. Seolah-olah perkara ini tidak ada kena mengena dengan mereka. Seolah-olah perkara ini berlaku di negara lain bukan negara mereka. Atau ia berlaku pada orang lain bukan pada mereka?! Oleh itu kita sebenarnya tiada pilihan lain selain terpaksa membuat pilihan.


Jika pada hari ini kita tidak memilih sedangkan kita masih mampu memilih maka hari esok (esok terlalu hampir) kita terpaksa menerima dalam keadaan terpaksa. Saya dapat melihat ada bara di celah-celah unggun yang tidak syak lagi akan marak menyala.


* * *
Kita terpaksa memilih satu corak hidup baru yang akan menjadi landasan hidup kita. Bukan semua sudut hidup masyarakat di Mesir kini sesuai berhadapan dengan perkembangan semasa dalam aspek akhlak, pemikiran dan keperluan manusia. Orang yang bijak akan merencana sebelum sesuatu berlaku dan bersiap sedia menghadapinya.


Kita berhadapan dengan komunisme dan sosialisme. Dalam persefahaman antarabangsa hari ini kedua-dua fahaman ini dianggap sebagai sebahagian nilai demokrasi. Ini sahaja yang mampu dilakukan oleh pejuang demokrasi. Di hadapan kita juga ada sistem Islam, saranan Islam, ajaran Islam dan hukum-hakam Islam.


Pada hakikatnya, kita tiada pilihan dan kita tidak bebas membuat pilihan. Kita semua beriman bahawa Islam agama suci ini mencakupi agama dan negara. Kita telah meletakkan Mesir sebagai sebuah negara Islam bahkan Mesir adalah pemimpin negara-negara Islam. Perlembagaan kita dengan jelas menyatakan dalam fasal keseratus empat puluh sembilan: “Agama rasmi negara adalah Islam dan bahasa rasmi negara adalah bahasa Arab.”


Bangsa ini iaitu rakyat Lembah Nil dari utara ke selatan semuanya menganut agama yang suci ini. Minoriti bukan Islam yang menjadi penduduk negara ini dapat mengecapi bagaimana rasanya keharmonian, keamanan, keadilan dan kesaksamaan yang wujud dalam ajaran dan undang-undang Islam. Inilah yang dinyatakan oleh al-Quran:


Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Al-Mumtahanah: 8)


Perbincangan mengenai nilai ini tidak perlu diperpanjangkan lagi. Lipatan sejarah yang menceritakan tentang hubungan baik antara penduduk negara ini, Islam dan bukan Islam sudah memadai membuktikan semua ini. Ada eloknya kita rakamkan sanjungan kita kepada anak watan yang mulia ini bahawa mereka menghormati segala nilai-nilai ini dalam setiap perkara dan mereka beranggapan Islam sebagai sebahagian daripada nilai patriotik mereka. Ini berlaku walaupun mereka tidak menerima undang-undang dan ajaran Islam sebagai akidah mereka.


Oleh itu, kerajaan Mesir, pertubuhan-pertubuhan dan parti-parti politik di Mesir sebenarnya tiada pilihan lain selain menunaikan ikrar yang mereka lafazkan kepada Allah dan rasul-Nya ketika mereka mengucapkan dua kalimah syahadah yang bermakna mereka terikat dengan Islam. Begitu juga dengan sumpah setia mereka kepada rakyat negara ini ketika mereka menggubal undang-undang ini.


Ketika mereka menyatakan bahawa agama rasmi negara ini adalah agama Islam. Jika tidak mereka telah mengingkari ikrar mereka dan mengkhianati amanah Allah dan rakyat. Mereka perlu berterus terang kepada rakyat berhubung pendirian mereka terhadap Islam. Hari ini mereka tidak boleh lagi bermuka-muka dan berhelah.


Kejujuran mereka ini akan menyelamatkan negara ini daripada perkara yang mengancam masyarakat. Kejujuran mereka juga akan mengembalikan ketenangan dalam jiwa dan hati rakyat. Ini bermakna perlu wujud perubahan kepada seluruh agenda dan budaya negara. Di samping itu mereka perlu nyatakan dengan lantang bahawa Lembah Nil ini adalah pengibar dan pengembang risalah Islam, tanpa rasa goyah dan gentar. Namun kata-kata sahaja tidak cukup tanpa amal.


Apakah mungkin telinga-telinga yang tertutup selama ini mampu terdetik mendengar peringatan ini dan akan kembali kepada Islam dengan bersuara, beramal dan melaksanakannya??


Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (An-Nisa’: 65)


- IHAB -


Teringat saya akan kejadian Gempa Bumi yang Menggegarkan Kota Padang , Indonesia . Dimana saya berada disana. Alhamdulillah , ALLAH menyelamatkan saya.


Allah , Allah , Allah...


Terasa hina diri ini jika tidak mampu untuk menjalankan amanahnya di dunia ini .
Dialah menyelamatkan saya dimana tanggungjawab masih banyak lagi belum terlaksana .
Perlu lebih Focus !




(Gambar Hospital yg runtuh)
Tempat manusia berteduh kerana kesakitan pun
runtuh dengan kuasa ALLAH taala
Berhampiran dengan penempatan kami
Rumah pelajar juga banyak yg runtuh dan rosak

-islahmujahidin-

No comments: