Sunday, December 18, 2011

Ubat Hati Yang Sensitif



“Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan jika dia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahawa dialah HATI.”
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Hati. Satu huruf empat abjad yang membawa maksud terpenting dalam mencerminkan personaliti  seorang manusia. Tapi tiada siapa yang mampu melihat sekeping hati ini dengan mata kasar. Soalnya hati, hanya si pemilik dan pemilik mutlak si pemilik hati (ALLAH)  yang tahu. Namun tak keterlaluan saya katakan, jika kita sendiri pun ada masanya tidak memahami hati kita sendiri.
Hati. Untuk menjaganya sangat sukar. Perlukan keazaman. Tapi mengotorinya, tidak sesukar menjaga. Melalaikannya, ada pelbagai cara, terbentang luas di depan mata. Hanya iman dan takwa, jadi perisai utuh agar sekeping hati ini tidak dikotori, tidak dicemari. Sebagai manusia, iman yang naik dan turun pastinya membuatkan hati ini dihinggapi penyakit.  Parah atau tidak, terpulang pada usaha si pemilik untuk mencari penyembuhnya. Kenyataan yang tak mungkin berubah ialah, pengubat hati terbaik ada pada kembalinya si pemilik hati itu kepada DIA, maha Pencipta.
Sensitif
Berbicara tentang penyakit hati, saya terpanggil untuk menulis tentang hati yang sensitif. Maksudnya hati yang mudah terasa dengan kata-kata atau gurauan rakan-rakan.  Sedikit-sedikit tidak mengapa, tetapi jika ia dibiarkan tanpa kawalan, ia mampu menjadi duri yang merosakkan sebuah ikatan ukhuwah. Dan, ia juga menyakiti pemilik hati serta orang-orang sekelililing. Masakan tidak, jika hanya kerana sebuah gurauan, hati yang sensitif ini akan tersinggung dan menghantar signal ‘masam’ kepada wajah. Ataupun sebuah teguran atas dasar sayang, disalah erti dek kerana terlalu sensitif. Lalu, sebuah gurauan yang patutnya menceriakan suasana, bertukar menjadi racun yang menghambarkan sebuah kegembiraan. Meskipun tempoh masam muka itu mungkin tidak lama, tapi ia tetap mampu memberikan kesan kepada sebuah persahabatan. Kepada pemilik hati yang terlalu sensitif, cari jalan untuk berubah. Kerana jika dibiarkan anda akan menjadikan orang sekeliling trauma untuk bergurau senda dan akan mengambil tindakan untuk lebih banyak berdiam diri tatkala bersama anda.
Saya sendiri pernah menjadi seorang yang sensitif dan mudah terasa walaupun kerana sebuah perkara yang remeh. Dan saya juga ada mempunyai kawan yang sensitif. Dan apa yang saya nyatakan di atas, benar-benar berlaku dan ia memang mengguris hati kedua-dua pihak. Tambahan lagi jika kedua-duanya memiliki hati yang sensitif. Saya juga pernah membaca coretan seseorang tentang perkara ini. Bercerita tentang pengalamannya tentang soal sensitif ini, dan Alhamdulillah dia telah menemui penawarnya. Dan saya sangat teruja untuk tahu, apakah penawarnya? Apakah ubat bagi hati sensitif ini? Agar drama sakit-menyakiti secara halus ini tidak berterusan.
Ubatnya
Nasihatnya mudah sahaja, “berlapang dada dan bersangka baik, dan kita akan terlepas dari belenggu ‘hati sensitif’”.  Pertama kali membacanya, saya terdiam. Betul, inilah caranya. Islam menuntut kita untuk berlapang dada dan berbaik sangka, dan ia pastinya mengandungi 1001 hikmah. Saya berikan anda satu contoh,
Alkisahnya, Si A adalah seorang yang sensitif, dan satu hari dia bersembang dengan rakannya, Si B.
A: B, malam ni kau ada nak pergi mana-mana tak? Kalau kau tak sibuk, nak ajak pergi beli barang.
B: Eh, malam ni bukan ada makan-makan kat dewan ke? Kau taknak pergi? Semua orang dijemput hadir.
A: Ha? Aku tak tau pun. Sapa yang cakap dekat kau?
B: C yang cakap kat aku.
A: Ye ker. Sampai hati dia tak ajak aku. Aku tak tau langsung. (Si A sudah mula terasa hati.)
B: Takpe. Nanti aku forward mesej yang dia hantar tu kat kau.
A: Urm, takpelah. Biar je la.
B: Eh, janganlah begitu.
Dalam perbualan di atas, jelas Si A sudah tersinggung apabila Si C tidak memberitahunya tentang majlis makan-makan pada malam itu. Persoalannya kenapa Si A boleh terasa dengan Si C? Walhal, Si C langsung tidak terlibat dalam perbualan di atas. Jawapannya mudah, kerana Si A telah buruk sangka terhadap Si C. Dia menganggap yang Si C sengaja tidak menghantar mesej kerana tidak mahu dia turut serta dalam majlis makan-makan tersebut. Padahal mungkin sahaja Si C terlupa, atau telah menghantar mesej tetapi atas sebab teknikal mesej itu tidak sampai. Tetapi dek kerana tiadak berlapang dada dan bersangka baik, Si A telah menjadi sensitif tidak bertempat. Dan tidak lain, hanyalah mengeruhkan keadaan diri sendiri, dan Si B. Malah merugikan diri sendiri jika mengambil keputusan tidak menyertai majlis itu dan menjeruk rasa natijah daripada sensitif tadi.
Jelas di sini, penyakit hati yang sensitif dapat dirawat dengan cara berlapang dada dan bersangka baik. Kerana jika Si A sedari awal lagi memujuk hatinya agar bersangka baik bahawa Si C mungkin sahaja terlupa dan tidak berniat buruk, dan dia menerima tawaran Si B yang mahu menghantar semula mesej, pasti dia dapat menghadiri majlis makan-makan itu dengan hati yang gembira. Tiada hati yang  disakiti, dan tiada kegembiraan yang tergugat. Cara ini mungkin tidak sesenang saya menulisnya, tapi jika dibandingkan dengan rasa sakit dan jumlah hati yang mungkin tersinggung akibat penyakit sensitif yang tidak bertempat, sangat berbaloi untuk berusaha mencubanya.
Tapi, mesej saya di sini adalah untuk menghilangkan virus hati yang sensitif tidak bertempat sahaja. Bukan meminta agar semua rasa sensitif dimansuhkan. Sensitif yang baik, perlu diteruskan. Seperti sensitif dengan isu semasa, perubahan rakan, dan paling penting sensitif terhadap dosa dan pahala. Semua ini perlu diasah dari sehari ke sehari agar sentiasa tajam!

No comments: